Pengikut

Ahad, Februari 13, 2011

"Tabarruj"


Tabarruj berasal dari kata BARAJUN, bererti luas. Ada yang mengatakan ia berasal dari kata BURJUN yang bererti tinggi. Tabarruj ialah mendedahkan, mempertonton atau menampakkan keindahan dan kecantikan di bahagian muka atau anggota-anggota badan yang lain mahupun pakaian.

Tabarruj seringkali dikaitkan dengan wanita kerana ia merupakan naluri semulajadi wanita yang ingin kelihatan cantik. Pada kebiasaannya, wanita menunjukkan dan memperagakan perhiasan dan kecantikan untuk menarik perhatian lelaki (yang dapat merangsang keinginan syahwat mereka). Maka di sini, tabarruj bererti wanita yang memakai perhiasan atau bersolek secara berlebihan untuk tatapan umum. Namun, dalam syariat Islam sebenarnya Allah s.w.t telah menganjurkan agar wanita menjaga kehormatan dan melarang setiap wanita yang telah berakal lagi baligh dari bermake-up (tabarruj).

Selain itu, tabarruj boleh dikatakan sebagai berjalan dengan berlenggang lenggok atau memperelokkannya. Ada juga yang mengatakan bahawa tabarruj itu ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat atau mengetatkannya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Tabarruj juga seringkali dikaitkan dengan golongan wanita Jahiliyah kerana mereka seringkali mempamerkan perhiasan yang terdapat pada tubuh badan mereka secara berlebih-lebihan dan tidak menutup aurat.

Di sini, dapatlah dijelaskan lagi, tabarruj ialah memperlihatkan keelokkan atau kecantikan seeorang wanita yang sepatutnya wajib ditutup. Bagi menjelaskan lagi maksud tabarruj, di sini dinyatakan konsep tabarruj. Segala bentuk benda untuk tujuan perhiasan adalah merupakan tabarruj. Ia terbahagi kepada dua iaitu;

1 ) Perhiasan semulajadi. Ianya merangkumi segala kecantikan semulajadi seperti hidung mancung, kulit putih gebu, rambut ikal mayang dan bentuk badan menarik.

2) Perhiasan buatan. Ia termasuklah pemakaian pakaian yang mendedahkan aurat, mewarna rambut dan kuku, berwangi-wangian, mengenakan celak dan solekan. Begitu juga, bertatu, bertindik, menggunakan barang-barang kemas asli dan tiruan (termasuk dosa riak dan takabbur) menggunakan alat palsu seperti rambut palsu dan kuku palsu, mencukur dan melukis kening.

Dalil Pensyariatan:

Allah telah berfirman dalam al-Quran melalui surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud;

Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.

Berdasarkan maksud ayat; “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” (an-Nur:31). Menjelaskan bahawa, tudung yang dipakai oleh wanita bukan hanya setakat di bahagian kepala sahaja, malahan hendaklah menutupi bayangan mutiara atau perhiasan yang terletak di bahagian dada mereka. Sesiapa yang mendedahkan bahagian kepala atau bahagian dadanya, maka sudah jelas ia bukanlah dari golongan orang yang mentaati suruhan Allah s.w.t. Akibat dari itu, sudah pasti seseorang itu menerima azab yang pedih di hari akhirat kelak.

Kesimpulan:

Sebagaimana telah disebutkan dari ayat al-Quran surah An-Nur ayat 31, jelaslah Islam telah menetapkan bahawa tabarruj adalah haram kerana bukan sahaja menghias diri, malahan menunjuk dan memperagakan perhiasan atau kecantikan untuk menarik perhatian kaum lelaki yang boleh merangsang keinginan mereka. Tabarruj menjadi haram apabila dibawa ke luar rumah dengan berhias bukan untuk suami, bersolek yang melampau dengan menggunakan alat-alat solek di bahagian bibir, alis dan pipi.

Setiap manusia, sesungguhnya ingin tampil cantik di mata umum. Apalagi sebagai seorang yang berkerjaya, sudah tentunya penampilan harus dijaga. Sekiranya tidak dijaga penampilan yang sempurna, seseorang itu akan dipandang rendah serta dicerca oleh masyarakat keliling. Penampilan yang tidak sempurna akan mempengaruhi kerjaya individu. Namun, dalam menjaga penampilan, seseorang perlu ingat batasan yang telah ditetapkan agama kita.

Bagi menjaga atau mengelak diri dari difitnah, bagi saya, seeloknya seseorang itu berpakaian mengikut pada dasarnya sebagai seorang wanita atau lelaki iaitu menutup aurat, longgar, tidak nipis, bukan untuk bermegah-megah, tiada unsur memperagakan dan tidak menyamai lelaki bagi yang wanita. Apa yang penting, berhiaslah dengan niat yang betul dan baik untuk mengelakkan dari difitnah, kerana dari fitnah akan lahirnya dosa yang paling besar iaitu zina.

Demikianlah apa yang terkandung dalam syariat Allah dalam bertabarruj dan adab berhiasnya seorang wanita muslimah. Semoga para wanita muslimah dapat terhindar dari berbagai bentuk tasyabbuh kepada wanita-wanita kuffar dan dapat tampil cantik dengan tetap mempertahankan jati dirinya sebagai muslimah. Semoga Allah menetapkan hati kita di atas kebenaran dan kelurusan manhaj Rasul-Nya shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat.

3 ulasan:

Shila berkata...

Sedikit hasil copy paste dr assignment...

MERAH berkata...

menyedarkan.nice.

Shila berkata...

tq merah..
jom follow my blog...