Mazhab Jumhur:
Mazhab jumhur merupakan Mazhab fiqh yang empat iaitu Maliki, Hanafi, Syafie dan Hanbali. Mazhab-mazhab fiqh ini muncul dan berkembang pada pemerintahan Era Abbasid. Dinasti yang memerintah sebelum pemerintahan Abbasid iaitu Dinasti Umayyad tidak memberikan perhatian yang besar kepada tuntutan-tuntutan syari’at Islam di dalam suasana kehidupan mereka begitu juga kepada rakyat umumnya. Sebarang teguran para ulama’ akan ditepis dan sesiapa yang berani menentang akan dibuang negeri. Pola pemerintahan Dinasti Umayyad yang demikian telah menyebabkan ulama’-ulama’ ketika itu mula menyisihkan diri daripada istana. Akhirnya, Dinasti Umayyad mengalami kejatuhan dan lahirlah Dinasti Abbasid yang memberi perhatian kepada Islam terutamanya dari sudut keilmuan. Ilmu Islam mula berkembang dan dalam era inilah juga mula dibukukan ilmu-ilmu al-Quran, ilmu kalam, ilmu lughah dan ilmu fiqh. Demikian juga dalam era ini lahir tokoh-tokoh fiqh yang terkenal.
Ini menunjukkan perpindahan kerajaan Umayyad kepada Abbasid memperlihatkan perkembangan Ilmu islam secara pesat. Lahirlah handalan beberapa tokoh seperti Malik bin Anas di Madinah, Abu Hanifah di Kufah, al-Syafi’e di Yaman dan Mesir serta Ahamd bin Hanbal di Baghdad.
Dinasti Abbasid mula mengalami kejatuhan pada kurun ke 4H/10M. Ketika ini, dapat disaksikan dunia islam diperintah oleh beberapa kelompok dinasti-dinasti kecil. Pasa masa ini ajaran fiqh mula terkumpul sebagai empat ajaran atau empat mazhab iaitu Mazhab Hanafi, Mazhab Maliki, Mazhab Syafi’e dan Mazhab Hanbali.
Keempat-empat mazhab ini bersatu bagai saudara seagama yang sentiasa berpegang kepada yang haq, baik dalam perkataan mahupun perbuatan. Mereka saling memberi dan mengambil ilmu antara satu dengan yang lain. Mereka saling membanding serta bertukar-tukar fikiran, tidak fanatik dengan pendapat masing-masing dan tidak pula antara mereka mengajak semua umat supaya mengikutinya sahaja. Keempat-empat imam itu melarang murid-muridnya mengikuti mereka tetapi menyuruh agar mengikuti yang benar (yang haq) dan berdasarkan dalil. Sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ahmad kepada muridnya, “Janganlah kamu mengikuti aku dan jangan pula mengikuti Malik, Auzai’I dan Tsauri. Tetapi ambillah dari mana mereka mengambil, yakni dari al-Quran dan al-Sunnah”.
Mazhab ahlul usul:
Mazhab ahlul usul merupakan para ulama’ yang membahaskan ilmu usul fiqh. Ilmu usul fiqh memberi pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf yang difahami melalui dalil-dalil tafsili dan kaedah-kaedah mengistinbat hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf dari dalil-dalil tafsili. Mazhab ahlul usul terdiri dari empat mazhab fiqh iaitu Maliki, Hanbali, Syafi’e dan Hanafi. Namun, mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan mazhab Syafi’e dikenali sebagai mazhab jumhur manakala mazhab Hanafi dikenali sebagai mazhab ahlul usul. Mazhab ini dipelopori oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Pembahagian hukum menurut kedua-dua mazhab:
Hukum terbahagi kepada dua bahagian iaitu;
1) Hukum Taklifiy
2) Hukum Wadh’i
Hukum Taklifiy bermaksud, khitab Allah yang mengandungi hukum yang menghendaki orang mukallaf melaksanakan segala perintah dan meninggal segala larangannya. Dengan kata lain hukum yang mengandungi beban terhadap orang mukallaf yang menuntut untuk mengerjakan atau menuntut untuk meninggalkannya atau memilih antara mengerjakan atau meninggalkannya.
Hukum Wadh’i pula bermaksud khitab Allah berkenaan dengan perbuatan mukallaf yang menetapkan sesuatu itu menjadi sebab, menjadi syarat atau menjadi mani’ (penghalang) berlakunya sesuatu hukum.
Bahagian-bahagian hukum taklifiy:
a) Menurut pandangan ulama’ jumhur, hukum taklifiy terbahagi kepada lima bahagian;
Pertama: Ijab
Kedua : Nadb (anjuran atau sunat)
Ketiga : Tahrim (mengharamkan)
Keempat : Karahah (Dibenci oleh Allah)
Kelima : Ibahah (boleh memilih/harus)
b) Menurut pandangan ulama’ ahlul usul iaitu mazhab Hanafi, membahagikan hukum taklifi kepada tujuh;
Pertama : Fardhu
Kedua : Ijab
Ketiga : Nadb (anjuran)
Keempat : Tahrim (mengharamkan)
Kelima : Karahah at-Tahrim
Keenam : Karahah at-Tanziah
Ketujuh : Ibahah (boleh memilih atau Harus)
1 ulasan:
Rujukan:
1) Usul Fiqh 1. Drs. Ahmad Rafaai b. Ayudin. (1997) Cetakan Zafar Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
2) Golongan Salaf dan Imam Mazhab. Abdul Rahman Abdul Khaliq. (1997) Percetakan Zafar Sdn.Bhd. Kuala Lumpur.
3) Usul Fiqh dan Qawa’id Fiqiyyah. Haji Hasan b Haji Ahmad. (2002) Pustaka Haji Abd. Majid. Kuala Lumpur.
4) Fiqhul Manhaj Al-Syafie Jilid 1. Dr. Mustapha Al-Bugha. Dr, Mustapha Al-Khen Sheikh Ali Asy-Syarbaji. (2006) Darul Fajar. Kuala Lumpur.
5) Hukum-hukum Fiqh Islam (yang berkembang dalam kalangan Ahlus Sunnah). Prof. Dr. T.M. Hasbi Ash Shiddieqy. (1989). Thinker’s Library Sdn. Bhd. Selangor.
Catat Ulasan