Pengikut

Ahad, Jun 05, 2011

PERKEMBANGAN ILMU QIRAAT

Pada permulaan penurunan wahyu, Rasulullah s.a.w. amat menitik beratkan pembacaan al-Quran. Para sahabat diberi galakan oleh baginda untuk membaca dan menghafaz ayat al-Quran sehingga lahir sejumlah generasi intelektual dan memadamkan buta huruf. Baginda telah membaca dan mengajarkan ayat al-Quran di hadapan sahabat. Setelah baginda merasakan perlu membukukan ayat-ayat al-Quran dan bagi mengelakkan ayat-ayat al-Quran yang dihafaz lenyap begitu sahaja apabila kewafatan para sahabat dan para huffaz, baginda telah meminta tawanan perang Badar mengajar kepada 10 orang kanak-kanak Islam membaca dan menulis. Dari sinilah mulanya ayat-ayat al-Quran ditulis dan pada waktu itu, kebanyakan ayat-ayat ditulis pada pelepah-pelepah tamar, kepingan batu, tulang dan lain-lain bahan tulisan kerana ketiadaan kertas.

Perkembangan ilmu Qiraat telah wujud seawal dari penurunan ayat al-Quran. Waktu itu, bacaan secara qiraat belum diamalkan sehingga Rasulullah mengadu kepada Allah s.w.t setelah melihat kesukaran para sahabat membaca al-Quran. Para sahabat cenderung membaca al-quran dan ada di antara mereka membaca dengan satu atau tiga huruf. Oleh itu, al-Quran diturunkan dengan tujuh huruf untuk memberi kemudahan kepada umat Islam untuk membaca dan mengamalkan hukum-hukum yang terkandung di dalamnya.

Perkembangan Ilmu Qiraat:

Zaman Rasulullah s.a.w. merupakan peringkat penurunan Ilmu Qiraat bermula. Ia bermula dari penurunan wahyu Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w. melalui kaedah talaqqi dan musyafahah dengan Malaikat Jibril a.s. setiap setahun sekali.

Menurut kajian, pada mulanya penulisan ayat-ayat al-Quran di dalam mushaf tidak mengandungi titik dan baris. Bentuk kalimahnya pula boleh dibaca dengan beberapa kaedah atau wajah. Saidina Uthman ibn Affan r.a. ketika mengutus mushaf ke kota-kota Islam, beliau telah menghantar bersama-sama mushaf tersebut seorang guru yang bacaan dan kepakarannya selari dengan kandungan mushaf yang ditulis. Bacaan tersebut kemungkinan berbeza dengan bacaan mushaf yang diutuskan ke tempat lain. Keadaan ini berterusan sehingga ke generasi kedua iaitu Tabi’in r.a di mana mereka mengambil bacaan dan mempelajari al-Quran dari para sahabat r.a dan keadaan ini bersilih ganti dari generasi ke generasi sehinggalah sampai ke zaman imam-iman Qiraat yang masyhur.

Dari sudut bacaan (al-Qiraat) perbahasan berkaitan perbezaan cara bacaan al-Quran ini mula timbul semenjak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Bermula dengan perbezaan bacaan di kalangan para Sahabat r.a. Perkara ini merujuk kepada perbezaan bacaan al-Quran yang di
ambil dari Rasulullah s.a.w. Di antara para sahabat ada yang menerima terus daripada nabi hanya satu bacaan sahaja, ada pula yang menerima dua bacaan, tiga bacaan bahkan ada yang menerima lebih daripada itu dan kemudian mereka mengajarkan bacaan yang diterimanya tadi kepada orang yang belajar. Oleh kerana itu, wajarlah kalau timbul perbezaan qiraat pada generasi tabi’in dan generasi penerusnya. Apabila sampai kepada imam-imam qiraat yang tujuh itu, orang mula membatasi qiraat.

Imam al-Bukhari dalam sahihnya ada meriwayatkan bahawa Saidina Umar ibn al-Khattab r.a. telah menegur bacaan Hisyam ibn Hakim r.a. ketika beliau membaca Surah al-Furqan dengan membaca bacaan yang berbeza sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Umar r.a. Kemudian Saidina Umar r.a. telah membawa Hisyam berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. bagi mendapat kepastian tentang bacaan tersebut. Setelah Rasulullah s.a.w. mendengar bacaan Hisyam maka baginda bersabda; “Begitulah ia diturunkan”. Kemudian Rasulullah s.a.w. mendengar pula bacaan dari Saidina Umar, lalu baginda bersabda; “Begitulah juga ia diturunkan”. Lantas Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa sesungguhnya al-Quran itu diturunkan dengan tujuh huruf (bacaan), maka bacalah apa yang mudah daripadanya.

Maksud hadis di atas menunjukkan bahawa ilmu al-Qiraat ini adalah bermula setelah keizinan wahyu dari Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w. dengan penurunan al-Quran dengan tujuh huruf (bentuk bacaan). Kemudian ianya diikat dengan tawatur (sampai sanadnya kepada Rasulullah s.a.w.) dan sahih melalui penulisan kaedah Rasm Uthmani. Apapun, perkara yang perlu kita fahami adalah walaupun wujudnya perbezaan bacaan al-Quran di kalangan para Sahabat, Tabi`in dan Imam-imam Qiraat, namun perbezaan tersebut masih lagi berada dalam lingkungan tujuh huruf (bacaan) sebagaimana diturunkan oleh Allah s.w.t.

Pada zaman sahabat, merupakan peringkat penyebaran. Para qari dan huffaz telah mula berkembang. Antaranya yang terkenal ialah Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Ubay bin Ka’ab, Zaid bin Thabit, Ibnu Mas’ud, Abu Darda’ dan Abu Musa Al-‘Asy’ari. Merekalah yang dihantar oleh Khalifah Uthman ke wilayah Islam bersama mushaf Uthmani yang telah disediakan. Hasil didikan para qari zaman sahabat, muncullah pakar-pakar qiraat generasi tabi’in, di serata wilayah Islam antaranya;

1) Di Mekah: Qari yang tinggal di Mekah ialah Ubaid bin Umair, Atak Tawus, Mujahid, Ikrimah dan Ibnu Malikah.

2) Di Madinah: Qari-qari yang tinggal di Madinah antaranya ialah Ibnu Musayyab, Urwah, Salim, Umar bin Abdul Aziz, Sulaiman, Ibnu Yasar, Mu’ad bin Haris (Mu’ad Al-Qari’), Abdurrahman bin Hurmuz, Ibnu Al-A’raj, Muslim bin Jundub dan Sa’id bin Aslam.

3) Di Basrah: Para Qari yang masyhur antaranya Amir bin Abdul Qais.

4) Di Kufh: Qari-qari antaranya Al-Qamah, Al-Aswad dan Masruq.

5) Di Syam: Terdapat ramai qari yang mahir antaranya Al-Mughirah bin Abi Syaibah Almakhzumi.

Zaman tabi’in merupakan zaman penyebaran Ilmu Qiraat bertambah pesat. Pada zaman ini ramai yang cenderung dan minat dan perihatin terhadap qiraat. Ramai yang menumpukan perhatian terhadap ilmu qiraat sehingga lahirlah pakar-pakar qiraat dari generasi ini. Antara pakar qiraat yang lahir pada zaman ini ialah Iman Ibnu Kathir di Mekah, di Madinah pula terdapat nama-nama seperti Abu Jaafar Yazid bin Yakkub. Di Kufah, Yahya bin Wathab, ‘Asim bin Abi Nujdud. Di Basrah pula, Abdullah bin Abu Ishak dan di Syam Abdullah bin Amir dan ramai lagi.

Melalui perkembangan ilmu qiraat yang pesat sekali inilah, lahirnya pelbagai bentuk bacaan yang semuanya bersumber daripada Rasulullah s.a.w. Oleh kerana itu, para ulama segera mengadakan kajian dan penelitian terhadap setiap bentuk qiraat kemudian membandingkan bacaan mana yang betul. Akhir sekali mereka merumuskan tiga syarat bagi setiap qiraat yang dianggap betul dari Rasulullah s.a.w. iaitu;

1) Sanadnya yang sahih : Bacaan yang dianggap sahih sanadnya apabila ia diterima daripada salah seorang Iman atau guru yang jelas, tertib, tidak ada cacat dan sanadnya bersambung hingga ke Rasulullah.

2) Sesuai dengan Rasm Uthmani : suatu qiraat dianggap sahih apabila sesuai dengan salah satu mashaf Uthmani yang dikirimkan kepada wilayah Islam kerana ia menepati tujuh huruf.

3) Sesuai dengan tata bahasa Arab : sekiranya sanadnya sahih dan mutawatir, qiraatnya dianggap sahih walaupun ada sebahagian bacaan tidak sesuai dengan tata bahasa Arab.

Bermula dari zaman sahabat, mereka mengajar dan memperkembang ilmu qiraat kepada para tabi’in, para tabi’in pula mengajar kepada tabi’ tabi’in. Hasil dari didikan generasi tabi’in, semakin ramai yang cenderung dan berminat tentang ilmu qiraat. Tabi’ tabi’in ini bukan semestinya dari orang arab. Mereka terdiri daripada berbagai bangsa seperti Asad, Qis, Tamim dan sebagainya. Dengan perkembangan ini, pastinya timbul berbagai lahjah lafaz atau bahasanya. Justeru itu, mereka memilih untuk mengambil jenis qiraat yang dibawa oleh imam qiraat iaitu yang diambil dari Rasulullah s.a.w. mengikut kesesuaian lidah dan lahjah masing-masing.

Tiada ulasan: