Pengikut

Sabtu, Jun 05, 2010

PAHALA ORANG YANG BERSABAR...

Setiap manusia pasti hidupnya diuji Allah. Sekuat atau seberat mana ujian itu, bergantung pada kehendak Allah yang menentukannya. Dalam kehidupan seharian seseorang, ada kalanya ditimpa penyakit, diuji kerenah anak-anak yang nakal, diuji dengan masalah dalam kerjaya, diumpat dan dikeji rakan sekerja dan berbagai-bagai lagi bentuk ujian yang datang.

Segala bentuk ujian yang didatangkan Allah ini menghendaki manusia sentiasa berfikir akan kekurangan diri mereka. Fikirkanlah mengapakah Allah datangkan ujian sehebat ini, mengapakah diri kita yang terpilih diuji sebegini... apakah dosa-dosa kita pada Allah yang kita tidak sedari hingga Allah datangkan ujian seberat ini.

Manusia akan sentiasa menginsafi diri sekiranya mereka berfikir sedemikian. Selain itu, dengan adanya ujian dari Allah ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah. Ingatlah...Allah tak akan uji diri kita sekiranya kita tak mampu menghadapinya. Allah Maha Mengetahui akan kelemahan dan kekurangan hambanya.

BagiNya, sekiranya kita tak mampu menghadapi ujian seberat yang ditanggung, pasti kita tidak memerima ujian tersebut. Kadang-kadang Allah datangkan ujian semata-mata supaya manusia sentiasa sedar dan menginsafi diri serta tidak selalu alpa atau leka dengan nikmat yang ada. Justeru itu, manusia akan sentiasa mensyukuri nikmat yang ada. Kadang-kadang juga, Allah datangkan ujian ini sebagai teguran kepada kita, supaya sentiasa mengingatinya walau dalam apa jua keadaan.

Walau apa jua bentuk ujian yang didatangkan oleh Allah, hanya kesabaran yang menjadi kuncinya. Kerana dengan sabar, Allah akan membalas dengan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Kesabaran itu akan menghapus dosa. Ingatlah...pasti ada suatu hikmah yang tersembunyi di sebalik ujianNya ini. Namun, manusia perlu melakukan sesuatu seperti berdoa, solat hajat atau solat istikharah meminta agar diberi petunjuk olah Allah untuk mengatasi masalah yang dihadapi dan mudah-mudahan Allah memberi petunjuk jalan keluar dari masalah atau ujian yang sedang melanda. Dari Dia kita terima semua ini dan kepada Dialah juga kita memohon diberi petunjuk dan jalan keluar. Begitulah ALLAH 'mendidik' manusia....

Tiada ulasan: