Rasulullah SAW bersabda;
"Bahawa di dalam tubuh badan manusia itu ada seketul daging, sekiranya baik daging tersebut maka baiklah seluruh tubuhnya tetapi sekiranya rosak daging tersebut maka rosaklah seluruh tubuh, daging tersebut ialah hati"
(Riwayat Bukhari dan muslim)
Imam Gazali ra membahagikan hati atau ‘Al-Qalbu' kepada dua pengertian iaitu;
Pertama: Hati sebagai segumpal daging yang terletak di dada sebelah kiri manusia yang boleh dilihat dengan mata kasar manusia.
Kedua: Hati dalam erti yang halus bersifat ketuhanan dalam rohani yang ada hubungan dengan hati jasmani yang pertama tadi. Hati dalam erti kata yang kedua ini disebut juga sebagai jiwa dan perasaan yang mendorong manusia melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan. Kebaikan yang dilakukannya oleh manusia adalah kerana hati dan rohaninya baik, sedangkan kejahatan yang dilakukannya pula adalah kerana hati dan jiwanya telah rosak dan sakit.
Fungsi hati:Hati berperanan mengawal pergerakan anggota manusia. Tiap apa yang kita lakukan adalah mengikut gerak hati kita sendiri. Justeru itu hati juga berperanan memandu seseorang, sekiranya hati itu bersih dan suci maka perbuatan yang dizahirkan juga diterima akal. Sekiranya hati kotor dan tidak suci, maka timbullah perbuatan yang tidak diterima akal yang wajar. Sesungguhnya setiap amalan kita adalah bergantung pada niat seseorang. Adakalanya perbuatan seseorang sentiasa mengikut kata hati yang tidak berlandaskan akal yang waras atau sempurna pemikirannya. Maka jadilah nanti, Ikut kata hati mati...
Masalah dalam membentuk hati:
Iblis laknatullah sentiasa akan meyesatkan manusia dari manusia lahir ke dunia lagi. Itulah janjinya kepada Allah. Iblis berada bertelepu dalam hati manusia, berehat, bersenang lenang sehingga melalaikan hati manusia. Sekiranya hati tidak dipandu, akan timbullah penyakit hati seperti hasad, dengki, marah, serta perasaan keinginan kepada sesuatu yang bersifat duniawi. Mungkin juga nanti sanggup melakukan rasuah, pembunuhan, dan penipuan. Begitu juga timbul "Haras" iaitu menurut keinginan hawa nafsu tanpa ada batas, peraturan.
Begitulah pintu-pintu yang menyebabkan iblis masuk dalam hati manusia.
Sesungguhnya hasad dengki dilaknat Allah. Orang yang mempunyai hasad dengki sentiasa tidak pernah puas hati dengan kejayaan orang lain dan sentiasa akan menjatuhkan orang lain. Mereka juga rasa senang hati sekiranya melihat kesusahan orang lain. Begitu busuknya hati orang yang sebegini. Apakah yang akan diperolehinya nanti? Pernah suatu ketika Iblis tidak mahu sujud kepada nabi Adam setelah diperintahkan Allah untuk berbuat demikian. Kerana kesombongan, kebencian dan hasad dengkinya kepada nabi Adam, kerana asal kejadian yang berbeza antara Iblis dan Adam menjadikan Iblis ingkar perintah Allah. Perbuatan Iblis telah dilaknat Allah dan Iblis berjanji akan menyesatkan manusia supaya turut sama dilaknat Allah.
Satu lagi masalah dalam membentuk hati yang berpunca dari Iblis ialah "Haras". Haras bermaksud mempunyai sifat dan cita-cita inginkan sesuatu tanpa batas dan hukum Allah. Mahukan sesuatu yang diidam-idamkan mengikut hawa nafsu yang berlandaskan Iblis. Imbas kembali kisah nabi Adam di syurga. Allah telah membataskan hukum untuk nabi Adam di syurga dengan pohon larangan. Nabi Adam dilarang menyentuh apa lagi memakan buah dari sebuah pohon di syurga. Namun, Iblis telah memainkan peranannya dengan menggoda dan menghasut Hawa supaya memujuk rayu kepada nabi Adam untuk memakan buah tersebut. Nabi Adam merasa simpati dan termakan pujuk rayu Hawa, lalu mereka telah melanggar larangan Allah. Atas perbuatan itu, Nabi Adam dan Hawa telah dikeluarkan dari syurga dan dibuang ke muka bumi. Dengan begitu mudah sahaja Iblis menyesatkan dan menjerumuskan manusia ke lembah kehinaan.
Dari kisah nabi Adam memberi pengajaran kepada kita bahawa tugas Iblis tidak hanya terbatas kepada Adam dan Hawa tapi, kepada seluruh umat manusia hingga akhirat.
Tingkatan hati manusia:
1) Hati yang sejahtera
Iaitu hati yang sejahtera daripada menuruti hawa nafsu yang menyalahi perintah Allah. Tidak melakukan yang menyalahi ajaran RasulNya. Ini merupakan hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah. Mengingati dan mencintai Allah lebih dari kehidupan duniawi, takutkan seksaanNya, jadilah dia nanti terselamat dari jangkitan virus penyakit hati. Hati yang sejahtera sentiasa tenang, lembut dan sedia menerima nasihat.
2) Hati yang mati
Iaitu hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera. Melalaikan diri tanpa mengabdikan diri kepada Allah, menuruti hawa nafsu, melanggar perintah dan larangan Allah serta membenci golongan yang menyerunya kepada kebenaran. Inilah orang yang memiliki hati yang mati.
3) Hati yang sakit
Iaitu hati yang tidak konsisten. Ada kalanya cenderung untuk membuat kebaikan dan ada kalanya cenderung membuat kejahatan. Setelah melakukan kejahatan, segera hatinya berubah dan menyesali perbuatannya tapi, tidak kekal lama. Justeru itu, hati yang manakah yang menjadi milik kita... dan hati yang manakah yang akan dapat membimbing kita nanti?
Tanda-tanda hati yang rosak:
1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.
2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.
4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.
5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka melakukan kebaikan.
7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.
8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.
9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak takut kepada Allah.
10. Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Kaedah rawatan penyakit hati:
a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.
b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.
c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
d) Khusyuk dalam solat.
e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.
f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.
g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
h) Beriktikad dengan akidah yang betul.
i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.
j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.
k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.
l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.
m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.
n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.
o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.
q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan