Al-Bari merupakan nama Allah yang kedua belas. Al-Bari bermaksud Yang Maha Mengadakan daripada Tiada. Ia bermaksud, Allah menjadikan, menciptakan dan mengadakan sesuatu dengan cara yang sangat serasi. Segala ciptaan Allah di muka bumi ini dijadikan berpasangan. Jika ada siang pasti ada malam, manusia: ada lelaki dan ada perempuan, binatang: ada jantan dan ada betina, anggota tangan dan kaki juga berpasangan, bahkan pancaindera manusia juga dijadikan berpasangan seperti mata dan telinga. Sebelum Allah menciptakan sesuatu terlebih dahulu Dia telah mengukur sejauh mana kesesuaian ciptaanNya dan adakah perlu Dia menciptakan sesuatu itu berpasangan agar sentiasa serasi.
Setiap makhluk yang dijadikan berpasangan itu ada tugas yang tersendiri dan tidak pernah mendahului. Contohnya, siang adalah masa untuk kita beribadat dan bekerja mencari rezeki manakala malam pula masa untuk kita merehatkan tubuh dan minda selepas seharian bekerja selain untuk beribadat. Dalam sebuah keluarga peranan seorang bapa berbeza dengan seorang ibu. Andai makhluk tiada mempunyai pasangan, tentu akan merasa kekurangan dalam hidup. Ada siang tanpa malam, ada lelaki tanpa perempuan, ada pancaindera yang tidak berpasangan juga ada anggota yang tidak berpasangan. Tentulah makhluk akan merasa kesukaran menjalankan tugas harian dan sentiasa merasa kekurangan dalam hidup. Jika ada pasangan, hidup akan menjadi mudah dan harmoni kerana sentiasa mendapat bantuan dan ia menjadikan hidup kita lebih sempurna.
Di sebalik kejadian makhluk Allah yang berpasangan ini ada rahsia yang tersendiri. Antaranya tujuan Allah jadikan makhluk berpasangan ialah supaya mereka berada dalam keadaan harmoni, selaras dan indah serta menyenangkan manusia. Contohnya, manusia punyai sepasang mata menjadikan kejadian manusia itu indah dan selaras serta menyenangkan tugas manusia.Oleh itu, ia mendorong manusia menghasilkan sesuatu yang baru dan memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia lain. Diri kita ini telah diangkat oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi. Apa yang ada di muka bumi ini adalah untuk kita, tapi ingat...walau pun semua untuk kita, Allah melarang kita merosakkan bumi. Sekalipun berat bagi manusia mewujudkan sesuatu yang baru, tetapi jadikanlah al-Bari sebagai tauladan, bukan berputus asa mewujudkan apa yang dia mahu.
Khasiat al-Bari dalam kehidupan manusia:
Sesiapa yang kesukaran, kesusahan atau pun berada dalam keadaan sakit, biasakanlah membaca “Ya Bari” sebanyak 100 kali selama 7 hari berturut-turut, dengan keizinan Allah akan terlepas daripada masalah dan penyakit akan sembuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan